Saya dijemput oleh Jabatan Agama Islam Kelantan dan Gabungan Professional Kelantan untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar “Ahli Sunnah Arus Perdana”. Turut membentang beberapa tokoh yang lain. Mereka semua tentunya jauh lebih senior dari saya. Antara mereka; yang dikasihi Dr. Johari Mat, Rektor KIAS, orang Kota Bharu. Secara keseluruhannya, peserta yang hadir kelihatan tertarik dan bergembira dengan tajuk-tajuk yang dibentangkan. Namun sebilangan para pelajar pondok dan juga guru-guru mereka yang turut hadir nampaknya amat tidak selesa dengan seminar tersebut.
Dalam sessi soal jawab di sebelah petang, mereka melaungkan takbir, bising, enggan duduk dengan sopan dan marah-marah. Semoga ALLAH mengampuni semua pihak. Mungkin ada fakta-fakta yang dibentang oleh para pembentang tidak selari atau selaras dengan pengetahuan mereka. Sedangkan kertas-kertas kerja itu disertai dengan rujukan dari sumber-sumber muktabar dan kertas telah dicetak dalam bentuk buku. Mereka tidak banyak bertanya. Sebaliknya meluahkan perasaan yang tidak jelas dan bercampur baur. Mungkin juga mereka kurang biasa dengan pendekatan seminar, sehingga kelihatan sangat sukar untuk mereka mengingati perkara yang telah dijelaskan. Kita juga mengambil keputusan untuk tidak banyak menjawab demi menjaga perasaan masing-masing dan keharmonian majlis. Di samping soalan yang sebenar amat sedikit. Namun antara yang menarik hati saya ialah hujah seorang tuan guru yang memperkenalkan dirinya dan pondoknya lalu diikuti dengan cerita keistimewaan dirinya. Selepas menyebut namanya dan nama pondoknya, dia menceritakan ketika ibunya mengandungkannya, ibunya telah bermimpi. Dalam mimpi tersebut dilihat sebutir bintang jatuh ke perut ibunya. Ibunya diberitahu akan lahirlah dari perutnya seorang anak yang bertuah. Anak itu adalah dirinya. Mesejnya yang boleh difahami beliau insan istimewa, maka pendapatnya tidak dipertikaikan. Jika pembaca berminat, boleh menghubungi pihak penganjur dan meminta rakaman program tersebut.
Saya rasa semua kita faham dalam agama mimpi tidak dijadikan hujah bagi mengukur sesuatu fakta syarak. Mimpi tidak pernah menjadi ukuran bagi menentukan kebenaran pegangan agama seseorang. Paling banyak, mimpi boleh menjadi khabar gembira untuk perkara yang sememangnya syarak izinkan. Atau mimpi menjadi amaran dalam perkara tertentu. Berbeza dengan mimpi para nabi. Mimpi mereka adalah wahyu. Atau mimpi seseorang yang diiktiraf oleh nabi. Juga dianggap hujah. Selain mereka, mimpi bukan hujah. Ya, Islam tidak menolak kemungkinan sesuatu mimpi itu benar. Namun mimpi hanya disaksikan oleh seorang insan yang mendakwa tanpa bukti. Tidak boleh dipastikan pula sejauh mana ia khabar yang benar atau mainan syaitan. Untuk panduan peribadinya mungkin. Itupun jika tidak menyanggahi syarak. Benar Hasan al-Banna apabila beliau menyebut dalam salah satu daripada Usul 20nya: “Iman yang benar, ibadah yang sah dan mujahadah merupakan cahaya yang dicampak oleh ALLAH ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hambaNya. Tetapi ilham, lintasan hati, kasyaf, mimpi bukanlah dalil-dalil hukum syarak. Ia tidak diambil kira kecuali dengan syarat ia tidak bertentangan dengan hukum dan nas agama”.
Dalam sejarah, mimpi selain dari menjadi khabar benar atau gembira, mainan mimpi telah banyak menjadikan manusia terseleweng dari panduan al-Quran dan al-Sunnah. Atas nama mimpi juga dicipta hadith-hadith palsu. Sehingga kata ulama hadith: “Di antara bukti pemalsuan di dalam hadith ialah dakwaan sesetengah golongan sufi bahawa dia mengambil hadith daripada Nabi S.A.W dengan jalan kasyaf tanpa sanad yang bersambung dan sahih. Atau mereka mendakwa melalui jalan mimpi. Para ulama Islam telah sepakat bahawa mimpi dan kasyaf ; keduanya tidak boleh menetapkan hakikat syariat. Ini kerana kedua perkara itu mengandungi kekeliruan dan tidak memiliki dabit (kawalan yang tetap). Maka menyandarkan kepada agama apa yang tidak ada dalil daripada al-Kitab dan al-Sunnah yang diambil daripada Nabi S.A.W. dengan sanad yang sahih adalah bid`ah dalam agama dan dakwaan batil yang ditolak”.( rujukan : Muhammad Abu Zuhu, Al-Hadith wa Al-Muhaddithun, m.s 485, Beirut : Dar al-Kitab al-`Arabi).
Saya terlebih dahulu menghargai peranan yang pernah disumbangkan oleh pusat-pusat pengajian agama seperti pondok-pondok yang masih wujud. Jasa mereka dalam menyebar dan mempertahankan Islam, tidak boleh dipandang remeh. Kita cintakan mereka. Namun kebenaran lebih kita cintai. Tidak wajar bagi golongan agama berhujah dengan mimpi yang dilihatnya atau orang lain. Sedangkan agama mementingkan fakta dan bukti. Ketika sains berkembang dan menerajui dunia, apakah kita ingin mengemukakan hujah agama dengan berdasarkan mimpi semata?!! Hujah mimpi bukan sahaja ditolak oleh kehidupan moden, bahkan ia ditolak oleh Islam itu sendiri.
Di sesetengah pondok, barang kali pengaruh kesufian ala kebatinan masih wujud. Para pelajar begitu gemar dengan kisah-kisah mimpi dan keajaiban untuk membuktikan tokoh, atau alim tertentu berada di pihak yang benar. Walaupun sebahagiannya adalah karut marut semata. Maka tidak pelik jika kita diperdengarkan kisah wali tertentu yang bersolat dalam satu malam sehingga seribu rakaat. Kisah ini diceritakan bagi menggambarkan kehebatannya. Padahal jika kita tanya kepada pencerita; adakah sempat untuk ditunaikan seribu rakaat pada satu malam?! Jika dihitung, satu malam tidak sampai pun seribu minit. Mana mungkin nak ditunai seribu rakaat sekalipun dengan pantas dan bacaan yang sempurna. Dalam hadith ‘Aisyah r.aha apa bila ditanya: “Bagaimana solat RasuluLah pada Bulan Ramadan?. Jawabnya: “Baginda tidak pernah melebihi sebelas rakaat pada Bulan Ramadan atau selain Ramadan. Baginda solat empat rakaat. Jangan ditanya kesempurnaan dan panjang solatnya. Kemudian baginda solat empat rakaat. Jangan ditanya kesempurnaan dan panjang solatnya. Kemudian baginda solat tiga rakaat”. ‘Aisyah bertanya: Wahai RasuluLah! Adakah engkau tidur sebelum witir?. Jawab baginda: Wahai ‘Aisyah! Mataku tidur tapi jantungku (hatiku) berjaga”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Inilah kisah benar seorang insan yang bertaraf rasul. Bukan sekadar wali. Kisahnya berpijak di alam nyata. Benarlah al-Imam Ibn Jauzi yang menyebut (w. 597H): Apabila engkau melihat sesebuah hadith menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu. (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut :Dar al-Fikr).
Jika edisi agama yang dikemukakan demikian bentuknya, janganlah kesal kalau satu hari dunia moden akan memadamkan kewujudan pusat-pusat ini dari pentas sejarah umat. Golongan ulama dihormati dengan ilmu dan kesungguhan mereka menegak fakta dan hujah yang selaras dan selari dengan al-Quran dan Sunnah. Jangan
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Di
Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Adapun ilham, ada kemungkinan ianya daripada Allah, kemungkinan juga ianya daripada syaitan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah: terjemahannya): dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu. (Surah al-An`am: 121)
Kemungkinan juga ianya adalah bisikan atau percakapan dalam dirinya. Ini seperti yang nyatakan oleh firman Allah : (terjemahannya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh dirinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.( Surah al-Qaf: 16)
Dengan kemungkinan-kemungkinan ini, ilham tidak boleh menjadi hujah. Berkaitan dengan ini, maka pendapat sebahagian sufi bahawa ilham atau kasyaf adalah hujah yang wajib beramal dengannya di dalam hukum-hakam syarak adalah sesuatu yang batil”.( Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 2/924-925, Beirut : Dar al-Fikr)
Malangnya dalam ajaran sebahagian tarikat yang ada, persoalan mimpi sering dibangkitkan untuk dijadikan hujah bagi meyakinkan para pengikut yang jahil. Sebab itu ajaran awal kebanyakan aliran tarikat kebatinan ini ialah cerita-cerita keramat dan wali. Tujuannya untuk menjadikan diri tok syeikh begitu hebat dan menakutkan dalam jiwa pengikut. Jika ada yang kata tok guru salah, atau tokoh ulama tertentu silap, mereka berkata: dalam mimpi tertentu digambarkan begini dan begitu. Moralnya; dia tidak boleh dipertikaikan. Saya begitu tertarik dengan muhaqqiq (penganalisa) Siyar A’lam al-Nubala, ketika mengulas riwayat mimpi Abu Ja’far, Muhammad bin Ahmad bin Nasr al-Tirmizi yang menyebut: “Aku lihat dalam mimpiku Nabi s.a.w. di dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafii?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini –seakan baginda mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafii?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Muhaqqiq tersebut mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!!!( Ahmad Naim al-Iraqsusi, Tahqiq Siyar A’lam al-Nubala, 10/43
Islam tidak menafikan ada mimpi yang benar. Tapi ia bukan hujah agama. Sekadar panduan peribadi dalam urusan yang jelas diizinkan syarak. Demikian juga karamat dan kasyaf. Jangan melampau batas sehingga menolak nas dan dalil yang terbukti hanya berpandukan mimpi. Mimpi bukan hujah agama. Hujah agama ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kota Bharu akan malap jika begitu cara fikir kita. YA ALLAH AMPUNKAN KAMI SEMUA!!.
No comments:
Post a Comment