Pages

Followers

Sunday, December 12, 2010

Ulasan Buku Berkaitan Sifat Solat Nabi s.a.w. (2)

oleh Alitantawi

Artikel ini mengulas tentang buku: Ustaz Abu Farouq Rasul Bin Dahri, bertajuk 'Sabda Rasulullah s.a.w.: Solatlah kamu sebagaimana Aku solat', terbitan Syarikat Ummul Qura, cetakan kedua tahun 2010.

Artikel bahagian pertama (Ulasan pertama dan kedua) - boleh dibaca di sini

ULASAN KETIGA - BENARKAH HANYA SATU PANDANGAN/AMALAN - IAITU 'DI ATAS DADA'?

Dalam artikel pertama, saya telah menumpukan ulasan terhadap kesilapan nota kaki dan terjemahan. Kali ini ulasan saya adalah berkaitan tulisan penulis seperti berikut:

Penulis menyatakan pada muka surat 16 bahawa:

"Menurut hadis-hadis yang sahih, cara bersedekap (meletakkan kedua tangan) bukanlah di bawah pusat, bukan di pusat, bukan di perut atau melepaskannya ke bawah (isbal) tetapi diletakkan keduanya di atas dada sebagaimana penjelasan dari hadis-hadis sahih seperti berikut..."

Penulis juga menyatakan pada muka surat 17 dan 18 ayat seperti berikut:

"Menurut Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah: Bersedekap di dada adalah perbuatan yang sahih menurut sunnah. Yang bertentangan dengan cara ini adalah lemah dan tidak mempunyai dasar riwayat yang sahih".

Di sini dapat kita fahami beberapa perkara yang diketengahkan oleh penulis (melalui pendapat beliau dan juga nukilan pendapat Syeikh al-Albani) iaitu:

- Bersedekap di atas dada ketika solat disebutkan dalam hadith-hadith sahih.

- Perbuatan bersedekap di atas dada adalah perbuatan yang menepati sunnah.

- Perbuatan bersedekap di tempat selain dada adalah lemah dan tidak berdasarkan riwayat yang sahih.

Sekali pandang, mungkin pembaca akan meyakini bahawa hanya ada SATU pandangan dan hanya SATU amalan di sisi para ulama fiqh dan hadith sepanjang zaman iaitu seperti di atas. Namun apa yang ditemui amat berlainan... teruskan membaca:

1- Dari segi amalan, apa yang penulis bawa bertentangan dengan apa yang diamalkan oleh ilmuan Islam di zaman awal. Ini jelas seperti yang diceritakan kepada kita oleh Imam al-Tirmidzi :

وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ بَعْدَهُمْ يَرَوْنَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ يَمِينَهُ عَلَى شِمَالِهِ فِى الصَّلاَةِ. وَرَأَى بَعْضُهُمْ أَنْ يَضَعَهُمَا فَوْقَ السُّرَّةِ. وَرَأَى بَعْضُهُمْ أَنْ يَضَعَهُمَا تَحْتَ السُّرَّةِ. وَكُلُّ ذَلِكَ وَاسِعٌ عِنْدَهُمْ

Maksudnya:
dan amalan sebegini (meletakkan tangan kanan atas tangan kiri dalam solat) diamalkan di sisi ahli ilmu dari kalangan sahabat-sahabat Nabi s.a.w., para tabi'in dan selepas mereka. Mereka mengambil pandangan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika solat. Sebahagian mereka mengambil pandangan meletakkannya di atas pusat dan sebahagian lagi berpandangan di bawah pusat. Dan semua itu luas (terbuka) bagi mereka.
[Jami' al-Tirmidzi, Abwab al-Solat, selepas hadith no.252, muka surat 67, cetakan Dar al-A'lam, Jordan, tahun 2001]

dalam kata-kata dan huraian al-Tirmidzi ini kita dapati 3 generasi awal telah disebut iaitu:

Pertama- para sahabat Nabi s.a.w.
Kedua - para tabiin iaitu mereka yang sempat bertemu dengan para sahabat.
Ketiga - golongan selepas tabiin dan ini meliputi ulama di zaman al-Tirmidzi sendiri.

Kita dapati mereka terbahagi kepada dua kelompok:

Satu- yang bersedekap di bahagian atas pusat (tidak juga diberitahu di atas dada).
Kedua- yang bersedekap di bahagian bawah pusat.

Perlu difahami bahawa ini adalah apa yang diAMALkan oleh mereka sebagaimana kata al-Tirmidzi. Adakah kita boleh katakan amalan sebahagian sahabat, tabiin dan ulama selepas mereka adalah amalan yang TIDAK bersandarkan hadith sahih? Persoalan penting untuk sama-sama kita fikirkan.

2-Apabila dicari pula pandangan dan pendapat ulama terdahulu sama ada dalam bidang fiqh solat atau bidang hadith, kita juga tidak temui pendapat yang 'menghadkan' kepada hanya 'di atas dada'. Sebagai contoh:

Lihatlah buku-buku yang mengumpulkan pendapat ulama terkemuka dalam fiqh sama ada secara 'fiqh perbandingan' atau 'fiqh satu mazhab', maka kita akan dapati persoalan bersedekap ketika solat dibincangkan dengan begitu 'luas' dan 'terbuka' tanpa menafikan perbezaan cara dan amalan.

Persoalan yang saya ingin lontarkan di sini:

Adakah kita meyakini bahawa mereka TAHU ada hadith sahih yang menghadkan 'di atas dada' tetapi mereka tidak mengikuti maksud hadith itu?

Atau kita meyakini bahawa mereka TIDAK TAHU adanya hadith tentang 'di atas dada'?

Ini persoalan yang saya ingin timbulkan sekiranya kita berpegang kepada amalan dan pandangan 'hanya di atas dada'.


NUKILAN DARIPADA BEBERAPA SUMBER FIQH

1- Pertama mari kita lihat kepada sebuah buku yang menjadi antara rujukan utama dalam Mazhab Hanafi iaitu buku yang masyhur dengan nama Hasyiyat Ibn Abidin atau judul asalnya 'Radd al-Muhtar'. Dari buku ini kita dapati pandangan yang disebut ialah 'bersedekap di bawah pusat' berdasarkan kata-kata yang dinukilkan daripada Saidina Ali Bin Abi Tolib.
[Radd al-Muhtar, Jilid 2, Kitab al-Solat, muka surat 172 dan 173, cetakan Dar Alam al-Kutub, Riyadh, tahun 2003]

2- Kita juga dapat lihat pada sumber fiqh Mazhab Maliki contohnya buku karya Imam Malik Bin Anas sendiri iaitu al-Muwatto', beliau menyebutkan tentang suruhan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, dan menyenaraikan beberapa hadith tetapi tidak ada pandangan atau penetapan 'di atas dada'.
[al-Muwatto', Riwayat Abu Mush'ab, Jilid 1, bab 49, hadith no.424 hingga 426, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut, cetakan ketiga, tahun 1998] dan juga [al-Muwatto', Riwayat Yahya al-Laithi, Jilid 1, bab 100, hadith no.436 dan 437, cetakan Dar al-Gharb al-Islami, cetakan kedua, tahun 1997]

3- Dalam Mazhab al-Syafie pula, saya ingin membawa pembaca melihat apa yang telah dikumpulkan oleh Imam al-Nawawi dalam bukunya yang amat panjang lebar dan terkenal, iaitu al-Majmu' yang merupakan huraian kepada satu lagi buku fiqh Mazhab Syafie yang terkemuka iaitu al-Muhazzab karya al-Syirazi. Apa yang dibawa dalam buku al-Majmu'? :

a- Sebahagian ilmuan menyatakan agar bersedekap di bawah dada dan di atas pusat (di antara dada dan pusat)

b- Sebahagian ilmuan pula menyatakan di bawah pusat. c-Sebahagian lagi pula memberikan pilihan - sama ada ingin bersedekap di bahagian atas pusat atau di bawahnya.
[al-Majmu', Kitab al-Solat, Jilid 3, muka surat 269 dan 270, cetakan Maktabah al-Irsyad, Jeddah]

4- Manakala kalau dilihat pada Mazhab Hanbali pula, kita boleh mengambil pandangan yang dinyatakan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal sendiri iaitu ketika disoal tentang bersedekap di atas dada beliau memberikan jawapan:

a- di atas pusat (disebutkan 'sedikit' di atas pusat)

b- jika diletakkan di bawah pusat juga tidak mengapa

c- dia tidak suka seseorang meletakkannya di atas dada.
[Masaail al-Imam Ahmad, karya Imam Abu Daud, muka surat 31, cetakan di bawah seliaan Muhammad Rasydi Ridha, tahun 1353H]

5-Salah sebuah buku yang mengumpulkan pandangan daripada pelbagai mazhab yang popular ialah buku al-Mughni karya Ibnu Qudamah al-Maqdisi. Beliau menyebut tentang perbezaan pandangan ulama tentang bersedekap ketika solat:

a-Meletakkan di bawah pusat sebagaimana pernah diriwayatkan daripada sebilangan sahabat, tabiin dan juga Imam Ahmad Bin Hanbal.

b-Meletakkan di atas pusat, diriwayatkan dari sebahagian tabiin, Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad Bin Hanbal.

c-Diberi pilihan untuk mengambil mana-mana pandangan (atas atau bawah pusat), juga diriwayatkan dari Imam Ahmad Bin Hanbal. Ia juga dianggap sebagai sesuatu yang terbuka dan luas.
[Al-Mughni, Jilid 2, muka surat 141, cetakan Dar Alam al-Kutub, Riyadh, tahun 1997]

6- Saya juga ingin merujuk kepada satu maklumat yang diringkaskan oleh seorang ilmuan hadith di Iraq yang juga Syeikh Dar al-Hadith di Iraq, Dr. Mahir Yasin Fahl dalam tesis sarjana beliau bertajuk Athar Ilal al-Hadith Fi Ikhtilaf al-Fuqaha' berkaitan tajuk ini:

a-Bersedekap di atas pusat, di bawah dada. Menurut Dr.Mahir, ini adalah pendapat dalam kalangan ilmuan Mazhab Syafie dan salah satu pandangan dalam kalangan ulama Mazhab Hanbali.

b-Bersedekap di bawah pusat. Ini merupakan pandangan kalangan ilmuan Mazhab Hanafi dan beliau juga menyebut nama sebahagian sahabat, tabiin dan ulama selepas mereka yang mengambil pandangan ini. Ia juga adalah pendapat yang kuat dalam Mazhab Hanbali.

c-Bersedekap di atas dada. Ini tidak pernah diambil daripada ulama awal, cuma ia dipilih oleh ulama terkemudian seperti al-Son'ani, al-Mubarakfuri, al-Azim Abadi dan al-Syaukani.

d-Terbuka dan tidak dihadkan sebagaimana pandangan al-Auza'i dan juga Ibn al-Mundzir.

e- Meluruskan tangan dan tidak bersedekap. Ini pandangan sebahagian tabiin dan ulama.

Pembaca yang tahu membaca dalam Bahasa Arab elok melihat huraian lengkap Dr.Mahir Yasin Fahl dalam bukunya ini.
[Athar Ilal al-Hadith Fi Ikhtilaf al-Fuqaha', muka surat 280, Dar Ammar, Jordan, tahun 2000]

7-Saya juga ingin menukilkan apa yang telah dituls oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, seorang alim dan pendakwah terkemuka dunia Islam dalam bukunya yang cukup terkenal iaitu al-Fiqh al-Islami :

a-Bersedekap di atas dada.

b-Bersedekap di bawah dada, di atas pusat.

c-Di bawah pusat.

d-Meluruskan tangan tanpa bersedekap.
[Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 1, muka surat 687 dan 688, cetakan Dar al-Fikr, tahun 1985]

Apa yang saya sebutkan di atas hanyalah beberapa buku yang membawa pandangan mazhab-mazhab utama dalam Islam. Para pembaca boleh membuat rujukan tambahan menggunakan buku-buku fiqh yang mudah didapati dan melihat sendiri apa yang dinyatakan. Melalui apa yang saya sebutkan, kita dapat tahu :

-Pandangan yang dibawa oleh penulis yang 'menghadkan' dan 'menyempitkan' amalan bersedekap hanya di atas dada dan bukan di tempat lain adalah 'menyalahi' apa yang tersebar dalam kalangan ulama zaman berzaman - secara AMALAN dan juga PANDANGAN.

- Para ulama begitu terbuka (sebagaimana kata Imam al-Tirmidzi dan rujukan-rujukan yang saya sebutkan di atas) dalam menyatakan tempat bersedekap dan mereka tidak menghadkan serta tidak menyalahkan atau melemahkan pandangan tertentu. Bahkan di antara mereka memberikan pilihan pula kepada orang yang solat.

Adakah mungkin amalan dan pandangan ilmuan Islam sepanjang zaman ini 'tidak bersandarkan dalil yang sahih'?

Adakah mungkin mereka tidak tahu bahawa yang sahih hanya 'di atas dada'?

wallahu a'lam

sumber: http://alitantawi.blogspot.com/2010/12/ulasan-buku-berkaitan-sifat-solat-nabi_11.html

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails